Meminum arak adalah haram dalam agama Islam, menurut firman Allah SWT. “Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar (arak), berjudi, (berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.” (Al-Maidah 5:90)
Sebab musabab pengharaman itu adalah kerana ia boleh mengganggu fungsi otak dalam berfikir, bercakap dan bertindak. Kita sedia maklum seseorang yang mabuk boleh melakukan pelbagai perkara di luar batasan perilaku kemanusiaan seperti membunuh, memandu laju, membuat bising atau melakukan perkara yang memalukan seperti hadis Rasulullah SAW yang menyebut “Arak adalah ibu segala maksiat dan ia adalah maksiat paling mengaibkan.” (Riwayat Ibnu Majah).
Begitu juga penggunaannya dalam kuantiti yang sedikit sebagai perasa dalam makanan atau sebagainya tetap haram walaupun tidak memabukkan kerana Rasulullah SAW ada bersabda “Apa yang memabukkan dalam jumlah yang banyak, adalah diharamkan walaupun dalam jumlah yang sedikit.” (Riwayat Ibnu Majah). Oleh itu, tidak ada alasan untuk meminum arak walaupun seteguk atau setitik.
Kesimpulannya, peminum arak memberi kesan amat buruk kepada diri individu berkenaan, merosak imej agama, malah mengganggu ketenteraman masyarakat dan boleh menjejas kekuatan negara. Masyarakat wajib menjauhi arak dan terbabit dengannya sama ada secara langsung atau tidak langsung kerana menurut satu lagi hadis Rasulullah SAW “Sepuluh orang yang dikutuk Allah mengenai khamar (arak): Pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan wang hasilnya, pembayarnya dan juga pemesannya.” (Riwayat Ibnu Majah).
0 Domo(s):
Post a Comment